Syaaban dan Puasa Sunat

Assalamualaikum semua. Salam Hari Jumaat penuh keberkatan. Kita Sekarang berada dalam bulan  Syaaban. Tinggal lebih kurang 2 minggu saja lagi kita akan menyambut bulan Ramadhan. Ramai yang berpuasa sunat di.bulan Syaaban.  Syaaban dan Puasa Sunat.









Syaaban dan Puasa Sunat


عَنْ أُسَامَةُ بْن ُ زَيْدٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنْ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ قَالَ ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ


Daripada Usamah bin Zaid dia berkata, aku bertanya kepada Rasulullah SAW; "Wahai Rasulullah SAW, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada bulan-bulan lain sebagaimana (kerapnya) engkau berpuasa di bulan Sya’ban. Baginda bersabda: Bulan tersebut merupakan waktu manusia lalai iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Ia merupakan bulan yang mana pada bulan tersebut amalan diangkat kepada Allah Rab semesta alam. Aku suka amalan aku diangkat ketika aku berpuasa". (HR an-Nasai No: 2317) Status: Hadis Hasan



Syaaban dan Puasa Sunat


1.  Bulan Syaaban, bulan paling banyak Rasulullah SAW berpuasa sunat berbanding bulan lain.

2.  Bulan Syaaban, bulan kebanyakan manusia lalai daripada meningkatkan amal. Ramai yang menyibukkan diri dengan urusan dunia seperti menyediakan persiapan hari raya, mengadakan majlis kenduri kendara dan sebagainya.

3. Ibnu Rajab menyatakan, “Dalam hadis ini terdapat dalil mengenai dianjurkan melakukan amalan ketaatan di saat manusia lalai. Inilah amalan yang dicintai di sisi Allah.” (Lathaif Al Ma’arif, 235) Beribadah pada waktu ramai orang dilalaikan akan lebih ikhlas sehingga pahalanya semakin besar. Beribadat ketika ini akan lebih berat dirasakan oleh jiwa, kerana biasanya jiwa kita ini akan terpengaruh dengan apa yang dilihatnya. Ketika orang mungkin sibuk menjamu selera sebab nanti di bulan Ramadan tak boleh makan siang hari, maka akan semakin berat bagi jiwa untuk menjalankan ketaatan. Oleh sebab itu, secara umum, meningkatkan ibadah seperti puasa sunat pada bulan Sya'ban dan menjaga diri dari terikut-ikut orang lain adalah amal yang dicintai.

4.  Setiap kita disarankan agar memperbanyakkan amal pada bulan Syaaban seperti puasa sunat, solat sunat, sedekah, membaca al-Quran dan lain-lain sebagai persiapan bertemu  bulan Ramadan.








5.  Setiap hari amalan kita akan diangkat ke langit, ada amalan kita yang akan dibawa naik kepada Allah SWT pada bulan Syaaban.

6.  Rasulullah SAW memperbanyakkan amal seperti puasa sunat pada bulan Syaaban kerana baginda suka amalnya diangkat ketika sedang berpuasa.

7.  Abu Bakr Al-Balkhi berkata:


شَهْرُ رَجَبٍ شَهْرُ الزَّرْعِ  وَشَهْرُ شَعْبَانَ شَهْرُ سَقْيِ الزَّرْعِ وَشَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرُ حِصَادِ الزَّرْعِ


Bulan Rajab waktu menanam, bulan Syaaban waktu menyiram tanaman dan bulan Ramadhan waktu menuai hasil.

Marilah kita merebut peluang memperbanyakkan amal soleh di bulan Syaaban  antaranya berpuasa sunat. Jadikanlah bulan ini untuk kita menyiram amal soleh agar ia tumbuh subur dan segar berterusan di bulan Ramadan nanti.

Sumber: 1 hari 1 hadis
https://t.me/ahadithadayAHAD

mamapp

Masa mengajar kita tentang segalanya.. Masa mematangkan kita seiring dengan usia..

10 Comments

Words of wisdom

Previous Post Next Post