Selamat menyambut Maulidur Rasul: Cara kita mengimani dan mencintai Rasulullah SAW

Selamat bercuti kepada semua. Sempena menyambut ulangtahun keputeraan Nabi Muhammad, mari kita mengenali baginda dengan lebih dekat.. kalau tak kenal, macam mana nak saying rasul kita itu kan..

KEPUTERAAN RASULULLAH SAW
Adapun nasab keturunan baginda SAW adalah: Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hashim bin Abdul Manaf. Dikatakan bahawa nasib baginda SAW ini sampai kepada Nabi Ismail AS. Nabi Muhammad SAW lahir pada tahun Gajah iaitu tahun tentera Abrahah melanggar masuk untuk menyerang dan menawan kota Makkah. Namun percubaan untuk menawan Kaabah ini menemuni jalan kegagalan apabila Allah Taala mengantar sekumpulan burung Ababil untuk memusnahkan angkatan tentera Abrahah itu dalam sekelip mata sahaja. Mengikut pendapat yang paling hampir bahawa baginda SAW telah dilahirkan pada 12 Rabiulawal tahun itu (terdapat juga beberapa pendapat lain lagi).

Baginda SAW adalah seorang yatim ketika dilahirkan. Bapanya wafat ketika usia baginda SAW dua tahun dalam kandungan ibunya. Setelah dilahirkan baginda SAW dipelihara oleh datuknya Abdul Mutalib kemudian disusukan oleh Halimah binti Abi Zuwaib dari puak Bani Saad Bakri. Kampung Bani Saad pada ketika itu mengalami kemarau yang teruk. Setelah sampai Nabi Muhammad SAW untuk menyusu maka kampung tersebut berubah dari sebuah kampung yang tandus kepada sebuah kampung yang subur lagi menghijau. Di kampung ini jugalah baginda SAW telah dibedah perut oleh malaikat ketika usia baginda lima tahun. Ini adalah di antara keberkatan dan mukjizat baginda SAW yang telah dikurniakan oleh Allah Taala. Ibu baginda SAW telah wafat ketika usia baginda enam tahun. Ini menyebabkan baginda SAW menjadi yatim piatu. Kemudian baginda dipelihara dan dididik pula oleh datuknya Abdul Mutalib sehingga usia baginda lapan tahun. Setelah datuknya meninggal dunia baginda dipelihara oleh bapa saudaranya Abu Talib.

RASULULLAH SAW UTUSAN ALLAH TAALA
Rasulullah SAW merupakan pesuruh Allah Taala yang diutuskan kepada umat Islam dan seluruhnya. Sebagai umat Islam yang beriman maka wajiblah kita mentaati segala perintah dan suruhan yang datangnya dari junjungan besar Rasulullah SAW tanpa membantahnya walaupun sedikit. Perintah mentaati rasu-lNya amat jelas dinyatakan di dalam nas-nas dari al-Quran al-Karim ataupun al-Hadis antaranya:

Firman Allah Taala bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul (Rasulullah S.A.W) dan kepada orang-orang yang berkuasa dari kalangan kamu. Jika kamu berbantahbantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan sunnah rasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah an-Nisa: ayat 59).

Oleh itu, sebagai tanda kita mengimani dan mencintai Rasulullah SAW, beberapa perkara yang akan saya nyatakan di bawah ini boleh dijadikan pegangan kita:

BERADAB DENGAN RASULULLAH SAW
Firman Allah Taala bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan rasulNya dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Surah a-Hujuraat: ayat 1).

Firman Allah Taala bermaksud: Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan rasul (Rasulullah SAW) di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesame kamu. (Surah an-Nur: ayat 63).

MENTAATI RASULULLAH SAW
Firman Allah Taala bermaksud:Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada rasul (Rasulullah SAW) dan jaganlah kamu batalkan amal-amal kamu. (Surah Muhammad: Ayat 33).

Firman Allah Taala bermaksud:Dan apa jua perintah yang dibawa oleh rasul (Rasulullah SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. (Surah al-Hasyr:
ayat 7).

Firman Allah Taala bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): Taatilah kamu kepada Allah dan rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka) maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir. (Surah ali-Imran:
ayat 32).

BERSELAWAT KE ATAS RASULULLAH SAW
Firman Allah Taala bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Surah al-Ahzab: ayat 56).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Orang yang bakhil ialah mereka yang disebut namaku akan tetapi ia tidak berselawat kepadaku. (Riwayat al-Baihaqi).

Sabda Rasulullah SAW. bermaksud: Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali maka Allah akan selawat kepadanya sepuluh kali. (Riwayat Muslim).

MENGASIHI RASULULLAH SAW
Firman Allah Taala bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah daku nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi. (Surah ali-Imran: ayat 31).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Demi jiwaku berada di bawah kekuasaan Allah, seseorang kamu tidak beriman sehinggalah dia mencintaiku (Rasulullah SAW) lebih daripada kecintaannya kepada anaknya, ayahnya dan manusia keseluruhannya. (Riwayat al-Bukhari dan
Muslim).

Sabda Rasulullah SAW. bermaksud: Tiga perkara sesiapa yang memiliki tiga perkara tersebut maka ia memiliki kemanisan iman: Mencintai Allah dan rasul-Nya lebih daripada cinta kepada perkara lain… (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

MENGIKUTI SUNNAH RASULULLAH SAW
Firman Allah Taala bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingat Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Surah al-Ahzab: ayat 21).

Di ambil dari laman web iluvislam.com
PENULIS: USTAZ MUHAMMAD RASHIDI BIN HAJI WAHAB

mamapp

Masa mengajar kita tentang segalanya.. Masa mematangkan kita seiring dengan usia..

5 Comments

Words of wisdom

  1. “Barang siapa yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat, nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” (Hadis riwayat Muslim).  
    Salam Maulidur Rasul….

    ReplyDelete
  2. Selamat hari Maulid Rasul Muhammad ya mama pipie :)

    ReplyDelete
Previous Post Next Post