Dihari jumaat yg mulia ini, jom kita refresh semula berkenaan dengan siapa yang diwajibkan berpuasa.. Sekadar share perkara yang baik ni..
1. Islam
PUASA merupakan ibadat yang diwajibkan ke atas orang Islam sahaja. Orang kafir tidak dituntut mengerjakan puasa kerana sifat kekufuran (keingkaran) yang ada dalam diri mereka. Kekufuran mereka merangkumi semua cabang agama. Maka, pembalasan bagi mereka ialah pada akhirat sahaja. Jika sempat memeluk Islam, maka mereka tidak wajib menggantikan puasa semasa mereka kafir.
Firman ALLAH S.W.T maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu.” – Surah al-anfal:38
Hal ini untuk mengelakkan mereka berpendapat dan menganggap agama Islam membebankan umatnya. Manakala bagi orang murtad pula, mereka juga tidak dituntut untuk berpuasa walaupun berniat ingin bertaubat. Sekiranya mereka kembali memeluk Islam, maka wajib menggantikan puasa yang telah ditinggalkan kerana mereka mesti patuh dan hormat kepada kesucian agama Islam. Tidak akan gugur tanggungjawab sebagai orang Islam disebabkan murtadnya itu, malah tanggungjawabnya adalah sama seperti orang Islam yang lain.
2. Baligh
PUASA diwajibkan kepada orang yang sudah baligh. Sebagaimana yang diriwayatkan Ali bin Abi Talib r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
Maksudnya:
“Terlepas hukum dari tiga golongan: Daripada seorang bayi sehingga dia baligh, daripada seorang yang sedang tidur sehingga dia terjaga dan daripada seorang yang gila sehingga dia kembali waras.” - Hadis riwayat Abu Daud, Al-Hakim, Ahmad, al-Darimi dan al-Baihaqi
Kanak-kanak digalakkan berpuasa ketika umur mencecah tujuh tahun sekiranya mampu. Ini adalah untuk membiasakan mereka dengan ibadat itu. Tetapi hendaklah dipukul sekiranya mereka tidak berpuasa apabila umur sudah mencapai sepuluh tahun. Hukum ini berdasarkan hukum qiyas dalam mendidik anak-anak mendirikan solat.
Seandainya mereka telah baligh dan tidak pernah berpuasa sebelum itu, maka tidak diwajibkan untuk menggantikan apa yang telah ditinggalkan ketika masih kanak-kanak. Hal ini kerana qada puasa hanya diwajibkan untuk sesuatu yang baru sahaja. Ini bermakna, kanak-kanak yang baru baligh atau cukup umur, tidak perlu qada puasa yang sebelum itu.
3. Berakal
SALAH satu syarat wajib puasa adalah orang yang berakal. Manakala orang yang gila, orang yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kanak-kanak yang belum mumaiyiz (masih belum dapat membezakan baik atau buruk akan sesuatu perkara), tidak diwajibkan puasa kepada golongan ini. Ali bin Abi Talib r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda:
Maksudnya:
“Terlepas hukum dari tiga golongan: Daripada seorang bayi sehingga dia baligh, daripada seorang yang sedang tidur sehingga dia terjaga dan dari-pada seorang yang gila sehingga dia kembali waras.” - Hadis riwayat Abu Daud, Hakim, Ahmad, Darimi dan Baihaqi
Terdapat beberapa situasi berkaitan dengan syarat wajib ini antaranya:
1. Apabila orang yang gila kembali sembuh, maka tidak wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan ketika tidak waras sama ada gilanya itu sekejap ataupun lama.
2. Sekiranya pada sebelah siang Ramadan seorang kafir telah memeluk Islam atau orang yang gila kembali sembuh atau seorang kanak-kanak telah baligh (yang mana sebelum itu golongan ini telah berbuka puasa), maka disunatkan bagi mereka untuk berpuasa pada separuh hari yang masih berbaki untuk menghormati waktu tersebut. Tetapi ini bukanlah suatu kewajipan bagi mereka.
3. Orang yang pengsan dan akalnya telah hilang juga tidak diwajibkan berpuasa kerana puasanya tidak sah. Tetapi, wajib mengqada puasa itu apabila dia kembali sedar. Ini kerana, pengsan termasuk dalam kategori sakit. ALLAH S.W.T berfirman maksudnya:
“Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.” - Surah al-Baqarah: 184
4. Jika seorang kanak-kanak yang belum mumaiyiz berpuasa Ramadan dan pada masa sama baru mencapai umur baligh, maka wajib baginya untuk meneruskan puasa itu kerana dia telah termasuk dalam golongan yang diwajibkan berpuasa.
5. Jika kanak-kanak telah baligh ketika berpuasa sunat dan berniat untuk meneruskannya, maka tidak wajib baginya untuk qada kerana ia sekadar puasa sunat.
4. Bersih daripada Haid atau Nifas
SYARAT wajib puasa seterusnya ialah seorang wanita yang suci iaitu bersih daripada haid atau nifas. Jika sebaliknya, puasa mereka adalah tidak sah. Apabila telah kembali bersih, mereka perlu menggantikan puasa yang tertinggal itu. Sebagaimana yang diriwayatkan Aisyah r.a bahawa beliau berkata ketika dirinya berada dalam keadaan haid:
Maksudnya:
“Kami diperintahkan untuk menggantikan puasa, dan kami tidak diperintahkan untuk menggantikan solat.” – Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Ayat ini merupakan ayat perintah yang bersifat mutlak dan diqiyaskan kepada wanita yang sedang haid atau nifas. Kata-kata Aisyah mengenai ‘Kami diperintahkan’ bermaksud Rasulullah s.a.w memerintahkan golongan ini supaya mengqada puasa Ramadan sahaja tanpa perlu qada solat yang telah ditinggalkan. Al-Nawawi r.a menyatakan bahawa wanita yang haid dan nifas wajib menggantikan puasa mereka kerana ia berlaku secara berulang-ulang.
Sekiranya wanita itu suci pada siang hari, maka mereka digalakkan untuk kembali berpuasa pada baki separuh hari tersebut. Ini adalah untuk menghormati waktu puasa yang masih ada. Tetapi jika enggan, itu tidak mengapa kerana ia tidak diwajibkan.
5. Mampu Untuk Berpuasa
JIKA seseorang tidak mampu untuk berpuasa dan boleh mendatangkan kemudaratan, maka tidak wajib baginya untuk berpuasa. Contohnya seperti orang tua yang langsung tiada upaya, uzur dan sakit yang tiada harapan untuk sembuh. Tetapi diwajibkan ke atas mereka membayar fidyah bagi keadaan seperti ini.
Firman ALLAH S.W.T maksudnya:
“Dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu member makan orang miskin.” – Surah al-Baqarah 184
Abu Hurairah menyatakan maksudnya:
“Sesiapa yang telah mencapai usia tua, dia tidak mampu untuk berpuasa, maka dia wajib mengeluarkan setimbangan gadaan setiap hari.” – Athar riwayat Baihaqi
Ibnu Umar r.a juga pernah berkata bahawa.. Maksudnya:
“Apabila kamu tidak mampu untuk berpuasa, maka berikanlah makan setiap sehari setimbangan (makanan) – Athar riwayat Baihaqi dan Daruqutni
Tags
ISLAMIK
:) mengingatkan kembali syarat wajib puasa..mekaseh MP perkongsian ni..
ReplyDelete