Solat sumber kekuatan jiwa

Renungan di hari Jumaat..

Cuai, meremehkan ibadat wajib setaraf orang kafir dalam neraka

Solat adalah tiang agama. Solat juga ibadat pertama yang akan dinilai dan dihitung pada hari kiamat. Malah ia satu-satunya kewajipan ibadat yang disyariatkan secara langsung kepada Nabi Muhammad SAW ketika menghadap Allah SWT dalam perjalanan Mikraj baginda.
Malangnya dewasa ini, dapat diperhatikan masyarakat Islam terlalu cuai dalam urusan solat dan meremehkannya. Solat sering dilakukan pada akhir waktu dan kadangkala meninggalkannya. Lebih parah apabila sudah ada yang meninggalkan solat sepenuhnya, seolah-olah ia tidak diwajibkan dan masih menggelar diri mereka Muslim.


Hukum tinggalkan solat

Dalam ilmu fekah, fuqaha berbeza pendapat menetapkan kedudukan orang yang meninggalkan solat dan hukuman yang layak ke atas mereka. Tetapi mereka sepakat menyatakan bahawa meninggalkan solat adalah dosa sangat berat.

Firman Allah SWT: “(Setelah melihat orang yang bersalah itu, mereka berkata); (Mereka ditempatkan) dalam syurga (yang penuh nikmat), mereka bertanya-tanya mengenai (tempat tinggal) orang yang bersalah. Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang yang mengerjakan solat.” (Surah al-Muddaththir, ayat 40-43)

Rasulullah SAW bersabda: “Asas segala amalan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan puncaknya adalah jihad.” (Riwayat al-Tirmizi)
Ibadah tiada erti tanpa kalimah syahadah

Al-Mubarakfuri dalam bukunya Tuhfah al-Ahwazi menjelaskan, segala amalan yang dilaksanakan hanya dianggap berpahala di sisi Allah selepas seseorang itu memeluk Islam. Ini bererti sebesar mana pun kebaktian dan sumbangan diberikan tidak mendapat faedah tanpa didahului kalimah syahadah.

Mengenai solat sebagai tiang agama pula, beliau menjelaskan walaupun Islam adalah asal agama tetapi tanpa tiangnya sudah tentu agama ini tidak kuat dan mudah runtuh seperti rumah yang tidak bertiang.

Oleh itu, melaksanakan kewajipan solat fardu diibaratkan membina tiang untuk memperkukuhkan agama ini. Orang Islam yang mengabaikan tuntutan solat tidak mungkin dapat meningkatkan keimanannya untuk mematuhi arahan dan larangan Allah SWT.

Di sisi lain pula, ibadat solat yang telah disyariatkan oleh Allah SWT mengandungi banyak keistimewaan yang terkadang tidak kita ketahui melainkan selepas kita membongkarnya sendiri. Ibadat solat juga memberi banyak pengaruh dalam kehidupan seharian seorang Muslim.

Berdasarkan Tafsir al-Azhar, Imam Abu al-Aliyah pernah berkata: “Solat mempunyai tiga keistimewaan dan jika tidak ada ketiga-tiga ini dalam sesuatu solat, solat itu dianggap tidak berfaedah sama sekali.”

Tiga keistimewaan solat

Tiga keistimewaan itu adalah ikhlas yang akan membawa seseorang kepada makruf, khusyuk akan mencegahnya daripada perbuatan mungkar dan zikrullah membantunya melakukan makruf serta mencegah daripada yang mungkar.

Solat yang dilakukan mampu menjadi sumber kekuatan jiwa. Solat dapat menguatkan jiwa seseorang sehingga mampu meninggalkan kekejian dan kemungkaran.

Firman Allah SWT: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-‘Ankabut, ayat 45)

Ibadat solat yang dilakukan secara sempurna dapat mendisiplinkan individu yang bergelar Muslim. Rukun tertib yang diwajibkan dalam solat adalah latihan sangat berjaya membentuk insan yang patuh dan berdisiplin tinggi.

Mampu lahir insan berdisiplin

Latihan dalam solat mampu melahirkan insan yang celik prosedur lagi berdisiplin sekali gus menjadikannya cekap. Maka, untuk melahirkan pekerja yang produktif, seorang pengurus seharusnya menggalakkan mereka memelihara solat dengan sempurna.

Malah tidak menjadi kesalahan jika kecenderungan seseorang kepada solat dijadikan faktor penting dalam memilih pekerja, pemimpin mahupun pasangan hidup. Solat mendidik umat Islam menepati masa.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya solat adalah satu ketetapan berwaktu yang diwajibkan ke atas orang Mukmin.” (Surah an-Nisa’, ayat 103)

Abdullah bin Amru melaporkan kisah ini daripada Rasulullah yang sabdanya: “Sesiapa yang memeliharanya (solat) dia akan mendapat cahaya dan bukti serta pertolongan pada hari Kiamat. Sesiapa yang tidak memelihara solat, dia tidak akan mendapat cahaya (petunjuk), tiada bukti dan tidak akan mendapat pertolongan. Malah, pada hari kiamat nanti, dia akan ditempatkan bersama dengan Qarun, Firaun, Haman dan Ubai bin Khalaf.” (Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

Sesiapa yang memelihara solatnya dengan mengerjakan semua solat fardu pada waktunya dengan tertib dan sempurna, mereka dijamin selamat daripada api neraka. Sebaliknya, bagi mereka yang mengaku Islam, tetapi mengabaikan tuntutan solat ini akan diletakkan setaraf dengan orang kafir di dalam neraka.

BH

mamapp

Masa mengajar kita tentang segalanya.. Masa mematangkan kita seiring dengan usia..

4 Comments

Words of wisdom

  1. moga kita menjadi golongan yang menjaga solatnyer....

    ReplyDelete
  2. Nampaknya mudah tapi untuk mengerjakannya tidak mudah yang disangka... Bersyukur kerana hidayah itu datang pada kita yg mengerjakannya ....moga jangan ditarik olehNya

    ReplyDelete
  3. jom lah kita baca sama2.. utk remind diri sendiri juga.. thanks yer sudi baca

    ReplyDelete
Previous Post Next Post