Apakah Hukum Meletak Pokok Di Dalam Tandas Kerana Pokok Itu Berzikir

Apakah Hukum Meletak Pokok Di Dalam Tandas Kerana Pokok Itu Berzikir? Salam hari Jumaat semua. Seperti yang diketahui, mama ni kan baru berjinak-jinak sukakan pokok. Seronok menanam ni, selain dari dpt menyegarkan badan dengan oksigen yg dikeluarkan pokok, mata pun jadi segar bila tengok hijau-hijau. Boleh ke pokok di letak didalam tandas? Apakah Hukum Meletak Pokok Di Dalam Tandas Kerana Pokok Itu Berzikir?







Sebagai peminat pokok dan deco-deco, mama ada join grup deco dan grup menanam di FB. Mama perasan juga setiap kali ada orang up gambar deco toilet dan meletakkan pokok, pasti ada orang akan komen yang tak boleh letak pokok di toilet kerana pokok itu berzikir. Maka mama pun nak tahu juga Hukum Meletak Pokok Di Dalam Tandas Kerana Pokok Itu Berzikir. Maka mama pun merujuk Mufti WP di website. Mari kita lihat jawapannya.


Workstation mama. Penuh dengan oksigen haha.. Perasan tak ada perkara comel di situ? Kalau nak tau kisahnya kena tunggu post mama selepas ni ye..


Soalan : Assalamualaikum, Maaf bertanya, apa hukum kalau kita meletakkan pokok di dalam tandas? Sebab ada orang kata yang pokok juga berzikir dan tidak elok letak di dalam tandas. Mohon pencerahan. Terima kasih.


Jawapan Bagi Hukum Meletak Pokok Di Dalam Tandas Kerana Pokok Itu Berzikir

Larangan berzikir di dalam tandas itu hanya tertakluk kepada manusia yang ditaklifkan mengikut hukum syarak. Manakala, tumbuhan pula tidak menerima beban hukum untuk mengikut hukum syarak sepertimana yang diperintahkan Allah SWT kepada manusia. Oleh itu, jelas bahawa menanam pokok di dalam bilik air adalah diharuskan kerana tumbuhan tidak menerima beban hukum sepertimana manusia. Selain itu, tiada nas atau dalil syarak yang melarangnya.








Huraian Jawapan

Allah SWT telah menciptakan makhluk-Nya tanpa sesuatu yang sia-sia. Penciptaan makhluk seperti tumbuhan, haiwan, langit dan bumi yang sentiasa berzikir memuji-Nya menunjukkan bahawa tanda kebesaran Allah SWT yang tidak dapat diciptakan oleh setiap makhluk. Ini sebagaimana yang diceritakan di dalam al-Quran.

Firman Allah SWT:

سَبِّحُ لَهُ السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ وَإِن مِّن شَيْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَـٰكِن لَّا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ ۗ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا 

MaksudnyaLangit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.

(Surah al-Isra’, 44)

Begitu juga, yang digambarkan di dalam hadis ketika mana para sahabat RAnhum dan Baginda Nabi SAW sedang menjamu selera lalu mendengar makanan sedang bertasbih memuji Allah SWT. Ini sepertimana yang disebut di dalam hadis daripada Abdullah RA berkata:

لَقَدْ كُنَّا نَأْكُلُ الطَّعَامَ مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَنَحْنُ نَسْمَعُ تَسْبِيحَ الطَّعَامِ

MaksudnyaSesungguhnya ketika kami menjamu selera bersama Nabi SAW lalu kami mendengar makanan itu sedang bertasbih

Riwayat al-Tirmizi (3993)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan di atas, larangan berzikir di dalam tandas hanya tertakluk kepada manusia, sebagai makhluk yang ditaklifkan dan dipertanggungjawabkan dengan hukum-hakam syarak. Dalam penjelasan istilah hukum itu sendiri memberi maksud perintah dan larangan Allah SWT yang tertakluk kepada perbuatan mukallaf iaitu mereka yang dipertanggungjawabkan sahaja. Ini seperti yang disebut oleh Imam al-Isnawi di dalam kitabnya:

خطاب الله تعالى المتعلق بأفعال المكلفين بالاقتضاء, أو التخيير

MaksudnyaKhitab (kalam) Allah SWT berkenaan dengan perbuatan mukallaf (orang yang dipertanggungjawabkan) di dalam bentuk iqtida’ (perintah atau tuntutan) atau takhyir (pilihan)

(Lihat, Nihayah al-Sul Syarh Minhaj al-Wusul, 1/16)

Oleh itu jelaslah, bahawa setiap sesuatu hukum itu hanya tertakluk dengan perbuatan dan tingkahlaku hamba-Nya yang mukallaf dan dipertanggungjawabkan untuk melakukan ibadah, dengan mengikut apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah SWT dengan berpandukan apa yang ditetapkan syarak. Ini seperti mana yang disebut di dalam al-Quran Firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

MaksudnyaDan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

(Surah al-Zariyat, 56)

Dalam hal yang lain, hukum seseorang itu berzikir di dalam tandas adalah makruh, ini seperti yang dinyatakan di dalam kitab al-Futuhat al-Rabbaniah bahawa makruh berkata-kata serta berzikir ketika sedang menunaikan hajat sama ada ketika di padang pasir atau di dalam binaan. Ini termasuk juga berkata-kata dalam hal yang lain melainkan dalam keadaan yang darurat sahaja. Selain itu apabila bersin tidak perlu menjawab Alhamdulillah ketika berada di dalam tandas. Juga tidak perlu menjawab salam dan menjawab azan (Lihat Futuhat al-Rabbaniah ala Al-Azkar Al-Nawawiyah: 1/221)



Kesimpulan

Justeru, dalam membincangkan permasalahan ini, dapat disimpulkan bahawa larangan berzikir di dalam tandas itu hanya tertakluk kepada manusia yang ditaklifkan untuk mengikut hukum syarak. Manakala, tumbuhan pula tidak menerima beban hukum untuk mengikut hukum syarak sepertimana yang diperintahkan kepada manusia. Oleh itu, jelas bahawa menanam pokok di dalam bilik air adalah diharuskan kerana tumbuhan tidak menerima beban hukum sepertimana manusia. Selain itu, tiada nas atau dalil syarak yang melarangnya. Ini seperti yang disebut oleh Imam al-Suyuti di dalam kitabnya:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:  Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).

(Lihat, al-Ashbah wa al-Nazair, 1/133)

Wallahua’lam

Sumber: https://muftiwp.gov.my/


mamapp

Masa mengajar kita tentang segalanya.. Masa mematangkan kita seiring dengan usia..

24 Comments

Words of wisdom

  1. malas nak letak pokok indoor. sebab asik lupa nak keluarkan untuk bagi cahaya

    ReplyDelete
  2. Tidak terfikir pula pasal pokok berzikir dan letak dalam tandas. Bagus juga beri pencerahan.

    ReplyDelete
  3. sebelum ni ada terfikir. ok sekarang dah tahu jawapannya. hehe

    ReplyDelete
  4. tak pernah terfikir pula sebelum ni. Terima kasih untuk pencerahan ni kak adda :)

    ReplyDelete
  5. Memang tak terfikir langsung nak letak pokok dalam tandas. :)

    ReplyDelete
  6. terima kassih diatas penerangan...

    ReplyDelete
  7. Terima kasih atas pencerahan. Dulu pernah letak pokok bunga di tandas tapi keluarkan semula sebab jadi tempat nyamuk pula.

    ReplyDelete
  8. kesian pokok yang hidup dalam tandas tu.

    ReplyDelete
  9. Bagus info nih... untuk yang tak tahu harus tahu dah ubah pokok ketempat lain

    ReplyDelete
  10. Baru tahu. Bagus juga info ni sebab kat rumah kampung adik ada letak dalam toilet pokok hijau..

    ReplyDelete
  11. bagusnya info macam ni mama. Thanks for sharing. teringin nak letak hijauan dalam rumah tapi risau ada anak kecil Haha

    ReplyDelete
  12. kalau macam tu bagus buat taman terus dalam tandas..

    kesan buruknya berada lama pulak dalam tandas dan malu pulak menunjuk aurat pada tumbuhan hehehe

    ReplyDelete
  13. Bestnya workstation mamapp penuh kehijauan. Hehe. Maksudnya boleh lah ya letak tumbuhan dalam toilet. Lebih berseri la toilet kitee.

    ReplyDelete
  14. Yup, betul.. pokok berzikir .. tapi memang dorang xde apa apa kena mengena dengan dosa pahala pun.. dorang tak dikurniakan akal seperti kita... Moga terus tumbuh segar segala pokok yang ditanam.. AMIN

    ReplyDelete
  15. wah terima kasih share.. aku pun terfikir yang sama jugak..mujur ada penjelasan..

    ReplyDelete
  16. Good sharing Adda.. tak terpikir pulak Kak Sue. Memang ada pun letak pokok kat dalam tandas..

    ReplyDelete
  17. oh...tak terfikir jugak pasal ni..bagus mama share..tapi kat toilet saya takde pokok..haha

    ReplyDelete
  18. tak pernah amik tau pun pasal ni. terima kasih atas perkongsian :)

    ReplyDelete
  19. terima kasih atas perkongsian adda....

    ReplyDelete
  20. tq sharing info mama. saya pun tak tahu pasal ni. lepas ni kalau ada org cakap pasal topik ni, boleh jawab.

    ReplyDelete
  21. dr apa yg sy fhm hukum hakam Allah hanya tertakluk ke atas manusia shj. tp ada jg makhluk lain yg diarahkan Allah utk patuh pd hukumnya. sbg contoh ikan nun. ia perlu patuh perintah Allah meski dia terpaksa menelan seorg nabi.wallahu 'alam.

    btw terima kasih berkongsi info👍

    ReplyDelete
  22. Dulu pernah jugak letak pokok dlm tandas ni . sekarang tak letak dah

    ReplyDelete
Previous Post Next Post